Bakti geng suri rumah

STATUS sebagai suri rumah bukan halangan buat empat ahli Komuniti Tukang Jahit (KTJ) mengerah keringat menghasilkan alat pelindung muka untuk digunakan petugas kesihatan di barisan hadapan.

Berbekalkan kemahiran menjahit, mereka memanfaatkannya untuk mengambil tempahan yang secara tidak langsung menjana pendapatan bagi menyara keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama KTJ, Yap Sue Yie berkata, projek penghasilan alat pelindung muka itu dijalankan dengan kerjasama Gerakan Wawasan Malaysia (GWM).

Menurutnya, sebanyak 1,000 alat pelindung muka dihasilkan dan sudah siap diagihkan kepada empat klinik sekitar Kajang dan Putrajaya, minggu lalu.

Katanya, ia termasuklah Klinik Kesihatan Sungai Chua Kajang, Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 9, Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 11, Klinik dan Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18.

“Wang untuk membeli bahan membuat alat pelindung muka itu diperoleh daripada penyumbang dengan bantuan dua sukarelawan utama GWM iaitu Shafique Dassila dan Fong Kwok Khuen yang berusaha mencari dana.

“Menerusinya, kita dapat laksanakan projek ini dan ahli juga menerima upah daripada kerja yang mereka lakukan.

“Empat ahli terbabit jadi setiap seorang perlu menyiapkan 250 alat pelindung muka mengikut piawaian ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Yap, latihan dan bimbingan bagi menghasilkan alat pelindung muka itu diberikan menerusi perkongsian di kumpulan WhatsApp saja berikutan pelaksanaan PKP.

Namun, katanya, pihaknya tetap melakukan pemantauan kualiti selain mendapatkan maklumat daripada hospital dengan bantuan sukarelawan GWM bagi memastikan alat pelindung muka dihasilkan mengambil kira aspek keselamatan.

“Kuantiti dihasilkan agak banyak jadi kita perlu teliti supaya ia benar-benar menepati ciri alat pelindung muka dan paling penting selamat digunakan.

“Setakat ini, semuanya berjalan lancar dan KTJ bertuah mempunyai seorang ahli yang juga bekerja sebagai pemandu Grab.

“Jadi, dia diupah untuk menghantar bahan pembuatan kepada tukang jahit dan mengambilnya selepas siap. Apa yang penting, inisiatif ini membolehkan KTJ membantu ahli untuk tetap terus bekerja dari rumah walaupun ketika PKP,” katanya.

Sementara itu, ibu empat anak ,Azlina Mohd Yusop, 39, mengakui seronok kerana diberi peluang turut serta dalam pembuatan alat pelindung muka itu.

“Mulanya rasa susah tetapi rupanya mudah saja dan saya mengambil masa tiga hari saja untuk menyiapkannya.

“Seronok kerana dapat menggunakan kemahiran menghasilkan alat yang boleh digunakan petugas kesihatan barisan hadapan sekalipun tidak dapat menyumbang tenaga yang banyak seperti mereka,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Sekamat, Kajang.

FREE design consultation! Come speak to us if you're seeking for ideas to create something special for your company!