SEMANGAT sukarelawan dan membantu golongan memerlukan amat murni dan sering diberi perhatian semua golongan masyarakat. Pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar sering didedahkan aktiviti berkenaan.
Beberapa agensi seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Mercy Malaysia kerap tampil memberi bantuan tenaga dan kewangan kepada yang memerlukan. Namun, mereka memerlukan dana sumbangan pelbagai pihak untuk terus mencurah bakti.
Kewujudan perniagaan keusahawanan sosial (SE) masa kini menggabungkan objektif keusahawanan berasaskan untung bersama, hasrat meningkatkan keprihatinan kepada komuniti dan golongan lemah atau bermasalah.
Kejayaan beberapa syarikat permulaan berkonsep SE semakin diperkatakan. Ia tidak hanya dilihat sebagai syarikat berasaskan kesukarelawanan dan komitmen sivik yang tinggi semata-mata.
Perbezaan kritikal antara SE dan keusahawanan tradisional dapat dilihat dalam misi utama organisasi dan kesannya kepada pasaran disasar.
Konsep SE berbeza dengan jenis model keusahawanan lain kerana usaha mencari pengaruh berkaitan misi yang dikenal pasti. Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia menyaksikan kemajuan luar jangka dalam bidang SE dan menarik perhatian pelbagai sektor.
Usahawan sosial menekankan cara membasmi tekanan dan masalah sosial masyarakat dengan menghasilkan produk atau servis yang dapat membantu masyarakat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Dzuleira Abu Bakar, berkongsi beberapa contoh SE yang menyumbang kepada masyarakat kurang bernasib baik.
Ini termasuk Animal Projects and Environmental Education Sdn Bhd yang membantu pemeliharaan alam sekitar, Langit Collective yang bekerja dengan petani kecil di Sabah dan Sarawak, serta Komuniti Tukang Jahit yang memberikan latihan perniagaan kepada suri rumah dan ibu tunggal.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, mengakui SE antara alternatif menarik untuk mengurangkan masalah graduan tidak bekerja.
Pada masa kini, dianggarkan 330,557 yang menganggur boleh membabitkan diri dalam SE.
Sebenarnya graduan mempunyai idea baik dan bernas untuk membantu dalam isu sosial masyarakat, namun di peringkat universiti tidak banyak aktiviti untuk menarik minat mereka ke arah SE.
Projek kebajikan anjuran Khind Starfish Foundation antara inisiatif untuk semua pelajar di Malaysia merancang projek akar umbi di Malaysia, demi mempromosikan kebahagiaan dan menangani punca kemiskinan dan pendidikan yang buruk.
Mereka yang layak diberi pembiayaan maksimum RM10,000 setiap projek. Namun tidak banyak projek dipilih, diteruskan sebagai SE selepas graduasi.
Di universiti, pelajar masih didedahkan untuk berniaga mencari untung kewangan semata-mata.
Namun, seperti perniagaan lain, modal juga menjadi masalah utama. Bakal usahawan perlu mengenal pasti misi atau masyarakat yang hendak dibantu.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mula melihat peluang menggalakkan graduan menyertai SE dengan dana RM650,000 diperuntukkan bagi melatih 600 mahasiswa di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti dalam bidang itu melalui Program Keusahawanan Peringkat Nasional 2020/2021 University To Community.
Program seperti itu mampu memberi impak besar untuk mengangkat agenda keusahawanan di IPT. Untuk suntikan modal, beberapa agensi boleh memperkenalkan syarikat permulaan ini dengan pelabur.
Kerajaan juga menawarkan beberapa insentif berbentuk pelepasan cukai dan akreditasi. Pada Ogos lalu, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mengumumkan Geran Padanan Impak Sosial (SIM) berjumlah RM10 juta. MaGIC Malaysia diberi tanggungjawab menyelia pemberian Geran SIM bagi pihak kerajaan.
Pemberian geran bertujuan menyokong SE dan perniagaan berimpak sosial untuk mengekalkan inisiatif dan program mereka, memanfaatkan kemampuan untuk mengumpul dana, meningkatkan kesedaran masyarakat dalam inovasi sosial dan meningkatkan penyelesaian untuk hasil sosial dan ekosistem yang baik.
Peluang ini perlu direbut golongan menganggur untuk membina kejayaan melalui SE. Mana tahu suatu hari nanti, golongan ini akan menjadi sehebat tokoh SE dunia seperti Muhammad Yunus (Pengasas Grameen Bank), Blake Mycoskie (Pengasas Chief Shoe Giver) atau Adam Braun (Pengasas Pencils of Promise).